Close

UPM lonjak ke-134 dunia, peningkatan skor dalam kesemua indikator penilaian

2025-06-19 IDOPRESS

Foto UPM

SERDANG,19 Jun- Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melonjak kedudukan ke-134 terbaik dunia apabila mencatat peningkatan skor untuk kesemua indikator penilaian,dalam penarafan QS World University Rankings (QS WUR) 2026. Pencapaian itu bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Menurut UPM,peningkatan itu didorong oleh dua indikator utama iaitu Reputasi Akademik dan Sitasi per Fakulti yang merupakan antara komponen terpenting dalam sistem penilaian QS.

UPM mencatat peningkatan skor sebanyak 14.7 mata bagi indikator Reputasi Akademik manakala skor Sitasi per fakulti turut meningkat sebanyak 12.6 mata.

"Lonjakan skor dalam Reputasi Akademik mencerminkan pengiktirafan yang semakin tinggi daripada komuniti akademik serantau dan global terhadap keunggulan pengajaran dan pembelajaran yang dihasilkan oleh akademia UPM.

"Sekali gus mengukuhkan kualiti program-program pengajian dan graduan yang dihasilkan.

"Pencapaian itu juga selari dengan pengiktirafan yang diterima oleh Sekolah Peniagaan dan Ekonomi daripada Association of MBAs (AMBA) baru-baru ini yang melengkapkan status Triple Crown Accreditation,gabungan tiga badan akreditasi perniagaan terkemuka dunia,iaitu AMBA (UK),AACSB (Amerika Syarikat),dan EQUIS (Eropah).

"Pengiktirafan ini memberi kelebihan strategik kepada UPM dalam memperluas jaringan kerjasama industri dan akademik di peringkat global," menurut kenyataan itu.

Manakala peningkatan dalam indikator Sitasi per Fakulti sebanyak 12.6 mata pula menandakan lonjakan impak penyelidikan warga akademik UPM di peringkat antarabangsa dengan memperkukuh penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi.

Naib Canselor UPM,Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata,pencapaian cemerlang UPM adalah hasil usaha bersepadu melibatkan seluruh warga universiti.

"Dedikasi dan sokongan penuh yang diperolehi dari pelbagai peringkat staf yang digembleng bersandarkan kepada misi,visi,nilai dan budaya kecemerlangan membolehkan UPM terus merekodkan kejayaan demi kejayaan dalam segala aspek terutamanya penyelidikan dan reputasi antarabangsa.

"Pencapaian ini,diharap membantu meningkatkan lagi kebitaraan UPM yang pada akhirnya akan memberikan sumbangan yang bermakna kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat,selain mampu menarik minat pelajar antarabangsa untuk mengikuti program pengajian di UPM,” katanya menerusi kenyataan sama.

Tambahnya,peningkatan skor keseluruhan UPM dalam QS WUR 2026 juga didorong oleh proses penambahbaikan yang dilaksanakan oleh universiti secara berterusan merangkumi semua aspek penilaian utama termasuk akademik,penyelidikan,pengantarabangsaan dan kebolehpasaran graduan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap