Close

KBS perkasa usaha tangani ketagihan dalam kalangan belia

2025-04-27 HaiPress

Hannah Yeoh berucap pada majlis penutup Konvensyen Rakan Muda 2025 hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR,27 April- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus mempergiat peranan dalam melawan penyalahgunaan dadah dan pelbagai bentuk ketagihan,khususnya dalam kalangan belia.

Isu itu menjadi fokus utama Konvensyen Rakan Muda yang menghimpunkan seramai 227 belia dari seluruh negara dalam program dua hari yang bermula semalam.

Menteri Belia dan Sukan,Hannah Yeoh,berkata masalah ketagihan dalam kalangan belia bukan hanya perlu dilihat dari sudut jenayah,sebaliknya perlu ditangani sebagai isu sosial dan kesihatan yang memerlukan pendekatan berhemah dan inklusif.

"Saya galakkan mereka anjurkan lebih banyak program advokasi dan kesedaran dalam kalangan belia. Jangan fokus kepada program fizikal sahaja kerana mereka yang ketagihan mungkin rasa malu hendak cari bantuan atau rawatan.

"Kita perlu pelbagaikan program secara dalam talian supaya mereka tahu di mana boleh dapatkan rawatan. Kita perlu lihat ketagihan ini sebagai masalah kesihatan,bukan semata-mata masalah jenayah," katanya.

Tambah beliau,dengan pelaksanaan program yang lebih menyeluruh dan pendekatan mesra belia,kerajaan berharap dapat membantu lebih ramai anak muda untuk mendapatkan sokongan dan rawatan yang diperlukan.

Hannah Yeoh berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Rakan Muda di ibu negara.

Konvensyen kali ini turut disertai wakil Kelab Rakan Muda dan Sekretariat IPT Rakan Muda dari seluruh negara,yang digerakkan untuk merancang dan melaksanakan program lebih dekat dengan keperluan dan kehendak belia di kampus masing-masing.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap