Close

265 pelajar terjejas kebakaran Putra Heights terima bantuan RM500 MBI

2025-04-07 HaiPress

Foto Hiasan / Bernama

SHAH ALAM,7 April – Seramai 265 pelajar yang terjejas akibat insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 seorang yang disalurkan oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) bermula Khamis ini.

Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut bertujuan meringankan beban keluarga serta memberi sokongan kepada pelajar yang masih terkesan secara fizikal dan emosi akibat tragedi tersebut.

Menurut beliau,hanya kira-kira 20 peratus pelajar sesi pagi memulakan persekolahan pada hari ini,manakala selebihnya masih mengalami trauma dan belum bersedia untuk kembali ke sekolah.

“Jabatan Pendidikan Negeri akan menghantar pegawai ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk membantu pelajar yang terjejas agar mereka dapat terus belajar dalam suasana yang lebih sesuai.

“Mungkin di peringkat awal ini mereka akan dibantu dari segi kelas,darjah,atau apa-apa keperluan yang boleh memudahkan pembelajaran. Kalau mereka tidak hadir ke sekolah,kita akan tetap pantau dan bantu,” katanya dalam sidang media di sini.

Amirudin turut menyatakan harapan agar semua pelajar yang terlibat dapat kembali ke sekolah dalam masa terdekat dan meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.

Dalam perkembangan sama,kerajaan negeri juga akan melancarkan sebuah laman web khas bagi mendaftar maklumat mangsa terlibat dan menyelaras proses penyaluran bantuan.

Portal tersebut akan memberi akses kepada pegawai bertanggungjawab dan masyarakat untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan bencana tersebut.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap