Close

RMKe-13 perlu dilaksana sebaik mungkin, pastikan Malaysia capai status negara maju

2024-12-12 HaiPress

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli

GEORGE TOWN,11 Disember - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) perlu dirancang serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang tempoh 2027 hingga 2029.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata mengikut unjuran dengan pertumbuhan serta kadar mata wang pada peringkat sekarang,Malaysia berupaya menjadi negara berpendapatan tinggi,ukuran untuk menjadi negara maju,seawal 2027.

''Unjuran yang lebih praktikal adalah 2028 dan kalau terlajak sedikit pun,saya ingat dalam 2029,kita akan menjadi negara maju," katanya ketika berucap dalam sesi libat urus RMKe-13,di sini,hari ini.

Menurut Rafizi,pertumbuhan ekonomi mampan pada kadar empat hingga lima peratus adalah penting bagi memastikan negara dapat mencapai status negara maju.

Justeru,katanya,Malaysia perlu mencipta enjin pertumbuhan baharu yang lebih dinamik agar negara dapat mengekalkan momentum pada kadar yang lebih tinggi.

Sementara itu,dalam sidang media,Rafizi berkata mengikut unjuran sebelum ini Malaysia sepatutnya boleh mencapai status negara maju pada 2026 tapi terlepas peluang disebabkan beberapa faktor seperti pandemik COVID-19.

Menurutnya,sesebuah negara mencapai status negara berpendapatan tinggi apabila mempunyai pendapatan negara kasar per kapita sebanyak US$14,000.

Sementara itu Rafizi berkata Pulau Pinang penting dalam perancangan ekonomi negara terutama dalam RMKe-13 kerana negeri ini merupakan antara penyumbang eksport terbesar negara terutamanya daripada sektor elektrik dan elektronik.

Selain itu,Pulau Pinang juga kini memberi tumpuan terhadap pembangunan industri yang berasaskan Kecerdasan Buatan (AI),selari dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk membina keseluruhan ekosistem sektor berkenaan.

"Tumpuan kerajaan dalam RMKe-13 dan yang seterusnya adalah untuk memastikan rantaian nilai juga dibina bagi mewujudkan syarikat tempatan yang boleh mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai itu," katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap