Gel tenaga berasaskan kurma UPM menang anugerah Arab Saudi
2024-12-04 HaiPress
Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof (tujuh dari kanan) bersama bersama para pemenang NCPD 2024/Foto UPM
SERDANG,4 Disember – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi anugerah kategori Pembangunan Produk Baharu dalam Anugerah National Centre for Palms and Dates International (NCPD) 2024,diadakan di Riyadh,Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut kenyataan universiti itu,kemenangan dicapai menerusi inovasi produk gel tenaga berasaskan kurma yang diperkaya dengan madu dan habbatus sauda.
Ketua penyelidik projek,Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof berkata,produk gel tenaga berasaskan kurma itu mampu memberikan tenaga tahan lama dan pemulihan optimum untuk para atlet atau pengguna.
“Produk ini merupakan hasil penyelidikan mendalam,menggabungkan manfaat khasiat kurma,madu,dan habbatus sauda untuk memberikan alternatif makanan berkhasiat dan efektif untuk atlet dalam menghadapi cabaran fizikal yang tinggi serta mempunyai nilai indeks glisemik yang rendah,jelas Prof. Ir. Dr. Yus Aniza.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal dan Profesor di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan,Fakulti Kejuruteraan,UPM menambah,kemenangan inivasi itu berdasarkan kreativiti dan kesan positif produk.
“Kreativiti dan kesan yang positif oleh produk tersebut kepada industri sukan dan pemakanan menonjolkan sumbangan luar biasa dalam penyelidikan saintifik selain penilaian pembentangan projek menarik perhatian juri serta lembaga pemegang amanah,” katanya.
Produk gel sukan ini adalah usaha berterusan mempromosikan penggunaan bahan-bahan semula jadi yang lebih sihat dan berkualiti dalam makanan sukan,sekali gus memberi peluang kepada para atlet untuk meningkatkan prestasi mereka dengan cara yang lebih berkesan dan alami.
“Terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak terlibat dalam menjayakan projek ini dan akan meningkatkan lagi kualiti penyelidikan dalam bidang teknologi makanan dan produk halal,” tambahnya.
Majlis anugerah anjura National Centre for Palms and Dates,Arab Saudi menerima 173 permohonan penyertaan dari 37 buah negara. Namun hanya 14 penyertaan sahaja terpilih sebagai pemenang bagi tiga kategori dipertandingkan.
Kategori itu adalah Best Scientific Research Prize Joint-Winners (5 pemenang),Date Palm Innovative Technology Excellence Prize Joint-Winners (5 pemenang) dan New Product Development Prize Joint-Winners (4 pemenang).
Majlis penganugerahan itu disampaikan oleh Menteri Alam Sekitar,Air,dan Pertanian Arab Saudi,Tuan Yang Terutama Abdul Rahman Al-Fadhli membawa pulang wang tunai SAR100,000.00 trofi dan sijil.