Close

Persahabatan Anwar dan Prabowo suntik dinamisme baharu hubungan Indonesia-Malaysia

2024-10-23 HaiPress

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

JAKARTA,23 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja tiba di Jakarta pada petang Sabtu lepas,terus dipelawa ke kediamaan keluarga rakan lamanya di Kertanegara,Jakarta Selatan untuk meluangkan masa dan makan malam bersama dalam suasana ceria.

Rakan lamanya itu ialah Prabowo Subianto,yang pada keesokannya mengangkat sumpah sebagai presiden kelapan Republik Indonesia. Kedua-dua mereka dikatakan saling mengenali satu sama lain sejak zaman muda lagi.

Gambar-gambar yang dikongsi kedua-dua pihak di media sosial jelas akan pertemuan itu menampakkan kearkraban mereka,bersahaja tetapi mesra dengan senario itu mencuri tumpuan seantero pemerhati politik.

Saat bermakna itu turut dikongsi Prabowo di akaun X rasminya. Beliau menulis: "Merupakan kehormatan besar menerima sahabat saya,Perdana Menteri Malaysia,@anwaribrahim,di kediaman orang tua saya di Kertanegara 4,Jakarta”.

Catitan dan perjumpaan itu walaupun ringkas menunjukkan Prabowo meletakkan kepentingan dalam persahabatannya dengan Anwar,yang kebetulannya kedua-dua mereka mengharungi pengalaman kerjaya politik hampir sama dan mencabar.

Persahabatan akrab itu juga nyata ditunjukkan Prabowo,yang setiap kali akan melawat Anwar apabila beliau berkunjung ke Malaysia.

Para penganalisis percaya bahawa keakraban kedua-dua pemimpin itu membuka peluang untuk meningkatkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan,tenaga baharu,pertahanan,pendidikan dan kewangan.

Persahabatan mereka sejak sekian lama juga menjadi landasan yang kukuh untuk kerjasama masa depan ketika kedua-dua pemimpin mengharungi isu antarabangsa yang kompleks seperti isu Palestin,Myanmar,Islamophobia dan kempen anti-minyak sawit.

Pengarah Eksekutif Trust Indonesia Research and Consulting,Azhari Ardinal berkata; "Anwar Ibrahim dan Prabowo Subianto mempunyai persahabatan yang telah lama terjalin. Prabowo kini meneruskan inisiatif yang telah dimulakan Presiden ketujuh Joko Widodo dalam meningkatkan hubungan dua hala."

Beliau menambah,"Penerusan visi Joko Widodo mencerminkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan memacu kemakmuran serantau."

Penganalisis hubungan antarabangsa itu melihat perjalanan politik Anwar sebelum ini menjadikannya terkenal di Indonesia dan lawatan kali ini mendapat sorotan media dan perhatian masyarakat Indonesia.

Semasa sesi pelantikan di bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat yang dihadiri pemimpin luar negara lain pada Ahad,Anwar menerima tepukan paling gemuruh dan standing ovation ketika beliau diperkenalkan Prabowo.

Mengenai bidang kerjasama spesifik semasa pemerintahan Prabowo,penganalis itu menyatakan ia masih terlalu awal namun ramai mengetahui beberapa syarikat Malaysia sedang meneroka peluang pelaburan termasuk pembangunan kediaman di ibu kota baharu,Nusantara.

"Usaha ini tentunya boleh mengubah landskap ekonomi kedua-dua negara," kata penganalisis itu,sambil menekankan bahawa keakraban kedua-dua pemimpin itu akan membolehkan perbincangan luas dan bermakna apatah lagi Malaysia dan Indonesia adalah antara negara pengasas ASEAN.

Lawatan Anwar ketika Malaysia membuat persiapan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan,disentuh Duta Besar Malaysia ke Indonesia,Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin yang menyatakan: "Ini adalah saat penting bagi kedua-dua negara kita. Lawatan kerja perdana menteri akan mengeratkan hubungan dua hala dan memperkukuh kerjasama ASEAN."

Ramai penganalisis juga sependapat bahawa lembaran baharu kerjasama kedua negara mampu menangani cabaran bersama sambil memanfaatkan kekuatan bersama untuk lebih mengukuhkan dinamik ASEAN sebagai platform kerjasama serantau pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu,Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Utara Malaysia Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata keakraban hubungan Anwar dan Prabowo akan melonjak hubungan Kuala Lumpur-Jakarta ke tahap yang lebih tinggi dan bermakna.

Beliau yang juga penganalisis politik dan kajian antarabangsa melihat Prabowo yang pernah mendapatkan pendidikan awalnya di Victoria Institution di Kuala Lumpur dan Anwar,yang mempunyai hubungan rapat dengan ramai tokoh Indonesia dan menghayati dinamik negara itu,mempunyai kefahaman yang baik antara satu sama lain.

“Saya melihat keakraban kedua-dua pemimpin amat signifikan bagi masa depan kedua-dua negara,bukan sahaja daripada aspek politik,malah merangkumi membangunkan ekonomi,sosial dan budaya sesama negara,yang mana ia boleh menjadi pendorong usaha membina hubungan akrab rakyat antara dua negara itu.

Menyifatkan Anwar-Prabowo sebagai rakan sejati,hubungan itu bukan terjalin kebelakangan ini. Sebaliknya ia telah terbina sejak zaman muda kedua-dua pemimpin,bermula di era Presiden Suharto.

“Sudah tentu apabila persahabatan akrab antara dua pemimpin negara apabila diterjemahkan dalam hubungan diplomatik akan memanfaatkan kemajuan kedua-dua negara dan mencipta kemakmuran kepada rakyatnya.

Ini sekali gus juga akan memanfaatkan rantau ASEAN khususnya menjelang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun depan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025,Malaysia akan memerlukan Indonesia untuk membantu menggerakkan agenda ASEAN termasuk dalam merealisasikan Komuniti ASEAN 2025 dan Visi Komuniti ASEAN 2045,” kata beliau.

Prabowo dalam ucapan sulung sebagai presiden mengulangi komitmen menekankan pentadbirannya akan menumpukan kepada membanteras kemiskinan rakyat dan gejala rasuah,memperkukuh keterjaminan makanan,keterjaminan tenaga,industri hilir serta pengagihan kekayaan dan kemakmuran,yang banyak mempunyai persamaan dengan misi yang dibawa pentadbiran Anwar yang berasaskan konsep Madani.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap