Close

Tiga geran digital 2024 dibuka hari ini

2024-09-09 berita.rtm.gov.my HaiPress

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR,9 September - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) membuka permohonan untuk tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG) bagi sesi 2024/2025,Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG) dan Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG).

MDEC melalui kenyataan hari ini berkata,tiga jenis geran tersebut boleh dimohon mulai hari ini (9 September).

"Geran ini penting untuk membantu syarikat tempatan berkembang dalam sektor digital,sekali gus memperkasakan ekonomi digital Malaysia.

"Sejak 2016,DCG telah memainkan peranan penting dalam menyokong syarikat kandungan kreatif tempatan,membolehkan pembangunan,penghasilan,dan pengkomersialan kandungan digital merentasi pelbagai sektor termasuk animasi,permainan digital,komik digital,dan teknologi kreatif," katanya.

Berikut pecahan geran yang ditawarkan:-

Tiga jenis Geran Kandungan Digital (DCG) 2024/2025

i. Mini Geran: Menyokong pembangunan,dan pengkomersialan produk kandungan digital dengan had RM150,000.00 bagi setiap penerima geran.

ii. Prime Geran: Menyokong pembangunan,dan pengkomersialan produk kandungan digital,dengan had RM500,000.00 bagi setiap penerima geran.

iii. Geran Pemasaran & Pengkomersialan: Menyokong pengkomersialan produk kandungan digital dengan had RM300,000.00 bagi setiap penerima geran.

Pemohon layak untuk Mini Geran termasuk syarikat kandungan digital tempatan,perusahaan,perniagaan tunggal,dan perkongsian liabiliti terhad.

Manakala Prime dan Geran Pemasaran dan Pengkomersialan terbuka kepada syarikat tempatan yang diperbadankan di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan rakyat Malaysia,modal saham RM20,000,serta status Malaysia Digital (MD) atau Koridor Raya Multimedia (MSC).

Geran Pemangkin Digital Malaysia (MDCG)

MDCG menawarkan sehingga RM1 juta atau 50 peratus kos projek,mana-mana yang lebih rendah,untuk mendorong inovasi dalam sektor digital Malaysia.

Geran ini menyokong projek dalam Sektor Promosi Digital Malaysia (MD) untuk tempoh sehingga satu tahun.

Sejak 2021,MDCG telah diberikan kepada 59 syarikat,membawa kepada kemajuan seperti sistem pengurusan kecacatan berasaskan awan dan pelan sumber pembuatan yang meningkatkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Geran Eksport Digital Malaysia (MDXG)

MDXG,yang juga menawarkan sehingga RM1 juta atau 50 peratus kos projek,menyokong syarikat Malaysia yang bersedia untuk pengembangan global melalui aktiviti teknologi bernilai tinggi.

Dengan tempoh projek sehingga satu tahun,MDXG telah memfasilitasi pertumbuhan antarabangsa termasuk mempromosikan syarikat tempatan dengan aplikasi kenderaan elektrik berasaskan blockchain di Asia Tenggara dan penyebaran penyelesaian IoT berkuasa rangkaian 5G untuk perlindungan ATM di pasaran global.

MDCG dan MDXG hanya tersedia untuk syarikat tempatan atau milik asing dengan status MD.

MDEC akan menganjurkan dua sesi taklimat untuk DCG pada 11 dan 24 September ini,serta tiga sesi untuk MDCG dan MDXG pada 12 dan 18 September,dan sesi terakhir pada 2 Oktober 2024.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap