Close

Ringgit dijangka diniagakan pada kecenderungan meningkat minggu depan

2024-09-07 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,7 September- Ringgit dijangka dalam kecenderungan menaik berbanding dolar US minggu depan,kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat ringgit berkemungkinan cuba menembusi paras sokongan pada 4.3000,sekiranya dolar US terus mengalami penurunan berikutan data pekerjaan yang lebih lemah.

Data Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat hanya mencapai 142,000 pekerjaan pada Ogos,jauh di bawah jangkaan konsensus paras 165,000 pekerjaan,walaupun meningkat daripada 114,000 pekerjaan yang dicatatkan pada Julai.

“Kami menjangkakan ringgit akan terus menunjukkan arah aliran yang sihat memandangkan data NFP lebih rendah daripada jangkaan,dilihat sebagai faktor penyumbang kepada prestasi ringgit.

“Bagaimanapun,pasaran juga akan menumpukan terhadap data utama minggu depan iaitu data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dan Indeks Harga Pengeluar (IHP) untuk menilai inflasi serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 Jepun dan IHP China,perdagangan dan pinjaman baharu," katanya.

Sementara itu,Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI,Stephen Innes berkata memandangkan pasaran pekerjaan AS semakin reda,ia boleh memberikan sokongan kepada ringgit.

"Kedudukan ringgit minggu depan bergantung kepada data NFP terutamanya jika ia jatuh di bawah paras 150,000 (lebih rendah daripada konsensus paras 165,000),ia akan membantu mengukuhkan ringgit," katanya.

Dari Jumaat ke Jumaat,ringgit merosot kepada 4.3275/3330 berbanding dolar US daripada 4.3185/3225 minggu sebelumnya.

Sementara itu,ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan jatuh berbanding euro kepada 4.8087/8148 daripada 4.7862/7906 minggu lepas,turun berbanding pound Britain kepada 5.7010/7083 daripada 5.6939/6992 sebelumnya dan menguncup berbanding yen Jepun kepada 3.0296/0337 daripada 2.9754/9784 sebelum itu.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.3327/3372 daripada 3.3158/3191 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 281.3/281.9 daripada 279.3/279.8 sebelumnya.

Mata wang tempatan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9087/9305 daripada 12.7540/7726 dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.74/7.75 daripada 7.69/7.70 minggu sebelumnya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap