CBP umum dividen 6.5% untuk tahun kewangan 2024
2025-06-23 HaiPress
Foto FB Co-opbank Pertama
KUALA LUMPUR,21 Jun– Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan agihan dividen sebanyak 6.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 2024,melibatkan jumlah keseluruhan RM88.52 juta.
Pengumuman itu dibuat sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) ke-65.
Ketua Pegawai Eksekutifnya,Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata lebih 95,000 anggota layak menerima dividen yang telah ditolak zakat tersebut.
"Prestasi kewangan CBP bagi 2024 juga menunjukkan peningkatan,dengan keuntungan sebanyak RM124.29 juta,naik 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Pembayaran dividen akan dilaksanakan selepas MAPT dan anggota boleh membuat semakan menerusi Aplikasi HELOCBP bermula 23 Jun 2025.
"CBP turut komited memperkukuh perkhidmatan digital dan memperluas penawaran produknya demi pertumbuhan perniagaan," katanya menerusi kenyataan.
Dalam perkembangan lain,CBP kini beroperasi sepenuhnya di Wisma Co-opbank Pertama,Kampung Bharu,Kuala Lumpur,bersempena ulang tahunnya yang ke-75 pada 7 Jun lalu.
Perpindahan itu dijangka meningkatkan kemudahan kepada pelanggan di ibu negara.