Insiden Putra Heights: Kerugian mencecah RM65.4 juta, 600 keluarga terjejas
2025-04-07 HaiPress
Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media hari ini di Wisma Dewan Annexe,Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor / Foto Bernama
SHAH ALAM,7 April – Berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),kerugian keseluruhan akibat kebakaran dan paip pecah yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lalu dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.
Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari berkata insiden tersebut melibatkan kerosakan kepada unit rumah termasuk kos pendawaian elektrik yang turut terjejas.
"Kita sekarang sudah berada dalam fasa pemulihan. Proses pemulihan ini akan melibatkan pembaikan kediaman-kediaman yang rosak dan juga kos-kos untuk membaik pulih infrastruktur yang terjejas akibat insiden ini. Terima kasih kepada tindakan pantas pihak bomba dan pasukan sokongan,kami berjaya menyelamatkan harta bernilai sekitar RM285.9 juta," katanya dalam sidang media di sini.
Amirudin turut memaklumkan seramai 600 keluarga di kawasan tersebut dijangka terpaksa menyewa kediaman sementara kerana rumah mereka mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diduduki.
Sebagai bantuan,Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan bantuan sewaan sebanyak RM2,000 sebulan bagi setiap keluarga untuk tempoh enam bulan.
Katanya,peruntukan keseluruhan yang diperlukan bagi menampung kos sewaan tersebut adalah sebanyak RM7.2 juta.
Selain itu,Amirudin turut mengumumkan sesi pertama penyampaian sumbangan kewangan segera kepada mangsa bencana kebakaran dan letupan gas di Putra Heights akan bermula hari ini.
Sumbangan tersebut diterima daripada Kerajaan Persekutuan dan Petronas,dan akan disampaikan melalui kerajaan negeri.
"Bagi rumah yang mengalami kerosakan sepenuhnya (total loss),setiap keluarga akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000. Sumbangan ini terdiri daripada RM5,000 daripada Petronas,yang dikawal selia oleh kerajaan negeri,dan RM5,000 lagi daripada Kerajaan Persekutuan.
"Manakala bagi rumah yang terjejas serta penyewa-penyewa,mereka akan menerima RM5,000 sebagai bantuan segera,RM2,500 daripada Petronas dan RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.
Sehingga kini,seramai 219 penerima telah disahkan untuk menerima sumbangan mereka hari ini.
Proses penyampaian bantuan tersebut akan dilakukan secara individu oleh pihak Jawatankuasa Bencana dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada Jumaat ini,tertakluk kepada pengesahan laporan kehadiran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).