Gantung laluan Ipoh-Singapura, Perak sedia bincang dengan AirAsia
2025-03-13 IDOPRESS
Foto hiasan/ BERNAMA
IPOH,13 Mac- Kerajaan Perak terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan AirAsia susulan keputusan syarikat penerbangan itu menggantung operasi laluan Ipoh-Singapura berkuat kuasa 25 April depan.
Exco Infrastruktur,Tenaga,Air dan Pengangkutan Awam negeri,Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata,perbincangan akan memfokuskan kepada punca laluan itu dihentikan.
Jelasnya,laluan Ipoh-Singapura sentiasa mendapat sambutan baik daripada pengguna.
Pihaknya bersedia untuk bekerjasama dan memudah cara aspek pengurusan operasi penerbangan.
"Kalau kita nak banding dengan penerbangan Scoot daripada Singapura itu,ada empat penerbangan satu hari dan penerbangannya boleh dikatakan penuh,kenapa AirAsia apa sebabnya,bukan tiada penumpang,muatan penumpang ada,tapi ada sebab-sebab lain.
"Jadi,kita akan bincang dengan pihak AirAsia untuk teruskan dan beritahu sebab-sebab,kalau kerajaan boleh bantu supaya ia dapat meneruskan perjalanan Singapura-Ipoh",katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program 'Pandu Berhati-hati,Selamat di Aidilfitri di Ipoh.
Terdahulu,AirAsia dalam kenyataan mengumumkan penggantungan operasi 17 perkhidmatan termasuk laluan Ipoh-Singapura berkuat kuasa 25 April depan.
Ia bertujuan menyemak serta menyelaraskan operasi syarikat berkenaan.