Close

Bursa Malaysia dibuka rendah, indeks utama susut bawah paras 1,500

2025-03-12 IDOPRESS

Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR,12 Mac - Bursa Malaysia terus menyusut dalam sesi dagangan awalnya pada Rabu,menjejaki penurunan ketara dialami Wall Street serta pasaran serantau ketika ketidaktentuan ekonomi terus menjejaskan sentimen pelabur.

Wall Street sejak semalaman diasak aktiviti jualan ketara dengan indeks Dow Jones jatuh 478.23 mata atau 1.14 peratus kepada 41,433.48 manakala indeks S&P 500 merosot 42.49 mata atau 0.76 peratus kepada 5,572.07.

Pada 9.10 pagi,indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menguncup 20.53 mata atau 1.35 peratus kepada 1,499.62 daripada 1,520.15 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 15.44 mata lebih rendah pada 1,504.71.

Di pasaran meluas,kaunter rugi mengatasi untung iaitu 241 berbanding 124 dengan 240 kaunter tidak berubah,1,784 tidak diniagakan dan tujuh digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 191.19 juta saham bernilai RM117.81 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata potensi kenaikan Wall Street kekal terhad walaupun dengan laporan tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan lagi 25 peratus tarif ke atas import keluli dan aluminium dari Kanada ketika tindak balas rakan dagang hanya menjejaskan aktiviti ekonomi.

"Susulan itu,semua tertumpu kepada pengumuman data inflasi AS yang dijadualkan malam ini. Sebarang angka negatif lima peratus daripada unjuran awal 2.9 peratus berkemungkinan hanya menekan lagi sentimen sedia ada," kata firma pembrokeran itu dalam nota tinjauannya hari ini.

Ia juga menjangkakan pelabur menumpukan sektor yang secara asasnya kukuh seperti perbankan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) berikutan pertumbuhan pinjaman yang stabil dan pembayaran dividen yang sihat.

Dalam pada itu,bursa tempatan dijangka kekal tidak menentu di tengah-tengah ketegangan perdagangan berterusan antara AS dan rakan dagangnya.

"Kami mendapati wujudnya minat belian ke atas saham yang terlebih jual berikutan tekanan jualan baru-baru ini.

“Ini turut dipengaruhi oleh pemulihan saham teknologi terpilih AS yang mungkin memberi tempias dalam bentuk peluang untuk sektor teknologi tempatan,sekurang-kurangnya bagi tempoh berbaki pada minggu ini," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 10 sen kepada RM10.14,Public Bank rugi lapan sen kepada RM4.33 manakala CIMB naik tiga sen kepada RM7.29,CelcomDigi dan MISC masing-masing tidak berubah pada RM3.56 dan RM6.95.

Bagi saham aktif,Sapura Energy dan Nationgate naik satu sen masing-masing pada 4.5 sen dan RM1.16 manakala Mestron naik setengah sen kepada 27 sen.

NEXG pula merosot setengah sen kepada 26.5 sen manakala Elridge dan KNM masing-masing tidak berubah pada 47.5 sen dan 4.5 sen.

Di papan indeks pula,Indeks FBM Emas susut 118.87 mata kepada 11,149.02,Indeks FBMT 100 merosot 122.22 mata kepada 10,936.65,Indeks FBM Emas Shariah turun 54.89 mata kepada 10,819.12,Indeks FBM 70 berkurangan 66.34 mata kepada 15,779.05 manakala Indeks FBM ACE menguncup 9.60 mata kepada 4,430.53.

Mengikut sektor,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.52 mata kepada 150.38,Indeks Tenaga kehilangan 7.65 mata kepada 687.46,Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 375.18 mata kepada 18,394.10 dan Indeks Perladangan menguncup 42.65 mata kepada 7,298.58.-BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap