Close

Pendaftaran kenderaan NGV dihentikan mulai 1 Julai 2025 - Loke

2024-11-04 HaiPress

Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi membenarkan atau mendaftarkan kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api gas asli mampat (NGV) berkuatkuasa 1 Julai tahun hadapan / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR,4 November - Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi membenarkan atau mendaftarkan kenderaan bermotor yang menggunakan bahan api gas asli mampat (NGV) berkuatkuasa 1 Julai tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan,Anthony Loke berkata keputusan itu diambil demi keselamatan pengguna dan orang awam.

Menurutnya,bekalan runcit NGV oleh PETRONAS juga telah mula ditamatkan secara berperingkat sejak Oktober lalu.

"Tangki-tangki NGV mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun. Sekiranya tidak diganti,ia boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa dan mendatangkan bahaya seperti kecederaan,kematian,dan kerosakan harta benda yang dahsyat.

"Terdapat juga pengguna yang membuat ubah suai kenderaan menggunakan silinder gas memasak (LPG),yang amat berbahaya dan berisiko menyebabkan kemalangan serta letupan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di Stesen Petronas Jalan Cochrane Perkasa,di sini.

Setakat ini,lebih 40,000 kenderaan aktif NGV berdaftar di Malaysia.

Sementara itu,Loke berkata kerajaan akan memperkenalkan bantuan peralihan untuk pemilik kenderaan NGV susulan penamatan penggunaan bahan api tersebut mulai Julai tahun hadapan.

Katanya,inisiatif itu terdiri daripada tiga pakej bantuan untuk kumpulan sasar terjejas,termasuk pemandu teksi NGV.

“Bagi setiap pemandu berdaftar yang layak,bantuan one-off dalam bentuk e-baucar bernilai RM3,000 akan diberikan melalui aplikasi Setel,” katanya.

Loke turut menjelaskan,pakej kedua melibatkan bantuan untuk menanggalkan kit NGV,khususnya tangki NGV,daripada kenderaan yang telah diubah suai (dwi-bahan api),termasuk teksi NGV.

Kos penanggalan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan hanya boleh dilakukan di bengkel berdaftar.

Bagi pakej ketiga,bantuan peralihan untuk pemilik kenderaan NGV tunggal akan diberikan secara one-off berdasarkan nilai semasa kenderaan,yang akan dinilai oleh wakil penilai bebas.

Loke berkata bantuan ini bertujuan meringankan beban pemilik kenderaan NGV yang terkesan dengan dasar baharu tersebut.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap