Close

Bursa Malaysia lepasi paras rintangan 1,680 ketika dibuka

2024-09-03 berita.rtm.gov.my HaiPress

Barometer Bursa Malaysia melepasi paras rintangan 1,680 semasa dibuka pada Isnin namun turun selepas itu apabila pelabur memilih untuk mengambil untung dalam saham wajaran tinggi / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,2 September - Barometer Bursa Malaysia melepasi paras rintangan 1,680 semasa dibuka pada Isnin namun turun selepas itu apabila pelabur memilih untuk mengambil untung dalam saham wajaran tinggi selepas kenaikan kukuh berterusan minggu lepas.

Pada pukul 9.09 pagi,FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.07 mata kepada 1,678.73 daripada 1,678.80 ketika ditutup Jumaat lepas.

Indeks itu dibuka 1.56 mata lebih tinggi kepada 1,680.36.

Keseluruhan pasaran adalah kukuh,dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 256 berbanding 217,manakala 308 kaunter tidak berubah,1,646 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 264.14 juta unit bernilai RM135.99 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata paras 1,680 dicatatkan kali terakhir adalah pada Januari 2019.

“Kami percaya aliran meningkat itu akan berterusan dan menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,690 hari ini,dengan paras psikologi 1,700 sebagai sasaran utama dalam tempoh terdekat.

“Pelaporan prestasi kewangan baru-baru ini menunjukkan korporat Malaysia berada dalam keadaan kukuh terutamanya bank,dan kami menjangkakan saham mewah kekal sebagai tonggak bagi bursa tempatan,” katanya.

Beliau juga berkata pencapaian tertinggi baharu dalam Indeks Dow Jones Wall Street yang didorong oleh indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) terkini yang menepati jangkaan akan turut menyokong sentimen pasaran tempatan.

Di Hong Kong,Indeks Hang Seng ditutup lebih tinggi hampir kepada paras 18,000 susulan aktiviti pembelian semasa harga murah selepas penjualan baru-baru ini,serta petunjuk positif daripada ekonomi AS.

Di pasaran tempatan,CelcomDigi menguncup lapan sen kepada RM3.79,Public Bank turun empat sen kepada RM4.78 dan Press Metal merosot sembilan sen kepada RM4.88.

Sementara itu,CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing naik 10 sen kepada RM8.30 dan RM14.74,mengehadkan penurunan FBM KLCI.

Bagi kaunter aktif,Borneo Oil,TWL Holdings,Malayan United Industries dan Luster masing-masing kekal pada satu sen,2.5 sen,8.5 sen dan tujuh sen,manakala Notion Vtec naik sembilan sen kepada RM1.04.

Di papan indeks,Indeks FBM Emas turun 2.07 mata kepada 12,482.19,Indeks FBMT 100 kurang 3.54 mata kepada 12,184.08 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 2.84 mata kepada 12,283.83.

Indeks FBM 70 menguncup 16.29 mata kepada 17,427.63 namun,Indeks FBM ACE menambah 12.28 mata kepada 5,128.37.

Mengikut sektor,Indeks Perladangan menokok 1.37 mata kepada 7,314.56 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.80 mata kepada 19,714.73.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.03 mata kepada 180.37 dan Indeks Tenaga kurang 5.59 mata kepada 921.11.-BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap