Close

Dasar AP Terbuka mulai 1 Julai, beri manfaat kepada lebih ramai usahawan Bumiputera- MITI

2024-06-18 berita.rtm.gov.my HaiPress

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,18 Jun- Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini memaklumkan,mana-mana syarikat Bumiputera,termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif,boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia,berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan memaklumkan,langkah berkenaan adalah selaras dengan usaha MITI untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” menurut MITI.

MITI memaklumkan bagi syarikat Bumiputera yang berminat,syarat utama ialah berstatus sendirian berhad,pemilikan 100 peratus Bumiputera,mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Justeru,syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan,borang permohonan dan senarai semak.

Tambah MITI,objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Menurut kementerian itu,dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju,bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan,insurans dan logistik.

Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap