NCDRC UPSI, MOSTI teroka kerjasama inovasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak
2025-07-25 IDOPRESS
Penyampaian cenderamata dari NCDRC kepada Menteri MOSTI,Chang Lih Kang/Foto NCDRC UPSI Page
KUALA LUMPUR,25 Julai – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC),Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tekad membudayakan inovasi pendidikan awal kanak-kanak melalui pemerkasaan penyelidikan serta pembangunan produk berasaskan teknologi.
Perkara itu dizahirkan menerusi satu kunjungan hormat dan perbincangan strategik antara delegasi NCDRC yang diketuai Pengarahnya,Prof Madya Dr. Mazlina Che Mustafa,bersama Menteri Chang Lih Kang baru-baru ini.
Mazlina berkata,UPSI dan NCDRC berpotensi dalam membangunkan penyelidikan translasional berimpak tinggi kepada komuniti dan pembangunan negara.
"Gabungan kepakaran pendidikan dan sokongan teknologi daripada MOSTI mampu menghasilkan inovasi lestari untuk kesejahteraan kanak-kanak di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu,perbincangan turut memfokuskan kepada pemindahan teknologi hasil inovasi penyelidikan NCDRC ke industri,dengan sokongan MOSTI melalui pelbagai dana dan program pemangkin.
"Antara cadangan kerjasama ialah pembangunan sistem data pintar kanak-kanak,inovasi digital dalam pengajaran dan pembelajaran peringkat awal,serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi penilaian tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak," katanya.
Chang dalam pada itu menyambut baik hasrat kerjasama berkenaan dan menegaskan kepentingan meletakkan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas kepada masyarakat berinovasi.
Kunjungan itu diakhiri dengan sesi pertukaran pendapat dan penyerahan profil NCDRC kepada MOSTI sebagai dokumen rujukan untuk perancangan kerjasama lebih komprehensif pada masa hadapan.