Kerajaan belum cadang laksana semula GST - PM Anwar
2025-06-20 HaiPress
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto PMO
PUTRAJAYA,20 Jun - Kerajaan belum merancang untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat walaupun sistem itu disifatkan sebagai paling efisien dan telus,kata Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata,keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan semula GST dibuat berdasarkan realiti semasa,khususnya beban kewangan yang ditanggung rakyat berpendapatan rendah.
“Kalau orang bergaji RM2,000,walaupun beberapa barangan asas seperti gula dan beras dikecualikan,mereka tetap terbeban kerana GST dikenakan pada barangan lain dan juga pengangkutan. Kalau masa itu gaji minimum RM4,000 mungkin lain cerita” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan di Kementerian Kewangan,di sini,hari ini
Menurut beliau,niatnya ketika itu bukan untuk menolak GST secara mutlak,sebaliknya untuk mengelak rakyat terbeban dengan sistem cukai yang menyeluruh.
“Mungkin orang kata saya tak bijak,tapi saya tidak mahu laksanakan cukai yang menyusahkan rakyat bawahan. Jika ada kaedah pelaksanaan yang lebih adil dan tidak membebankan,kita boleh bincang. Tapi jangan terus kutuk pelaksanaannya dahulu,” katanya.
Oleh itu,beliau berkata,Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan lebih bersasar dengan pendapatan daripadanya akan dimanfaatkan kepada sektor utama negara seperti pendidikan dan kesihatan.
GST diperkenalkan pada 1 April 2015 dengan kadar 6 peratus namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan cukai SST.
Cukai SST pula terdiri daripada Cukai Jualan pada kadar 5 peratus atau 10 peratus bergantung kepada jenis barangan,serta Cukai Perkhidmatan pada kadar 6 peratus contohnya hotel,restoran,dan perkhidmatan profesional.