109 pemaju disenarai hitam, tidak patuh keperluan peraturan - KPKT
2025-04-07 IDOPRESS
Menteri KPKT,Nga Kor Ming/BERNAMA
KUALA LUMPUR,7 April- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenarai hitam 109 pemaju perumahan swasta berikutan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menteri KPKT,Nga Kor Ming berkata langkah tersebut sebahagian daripada usaha berterusan KPKT dalam melindungi kepentingan khususnya pembeli rumah.
Pemaju yang telah disenarai hitam juga tidak layak memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda tertunggak.
"Penyenaraian hitam pemaju ini menghantar mesej yang jelas daripada Kerajaan Madani bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan kami akan mengambil tindakan tegas.
Kebajikan pembeli rumah kekal menjadi keutamaan kementerian. Pemaju mesti mematuhi peraturan untuk memastikan projek siap tepat pada masanya dan mematuhi piawaian yang ditetapkan," kata Nga kepada pemberita,hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke 14 di ibu negara.
Dalam masa sama,Jabatan Perumahan Negara (JPN) turut merekodkan 471 notis dikeluarkan sepanjang tahun 2024 dengan denda berjumlah RM9.03 juta.
Bagi dua bulan pertama tahun ini,JPN telah mengeluarkan 56 kompaun,dengan denda berjumlah RM1.25 juta.
Antara kesalahan pelanggaran melibatkan kegagalan untuk mengemukakan laporan status pembangunan dan laporan audit.
Tambah Kor Ming,pembeli boleh menyemak status lesen pemaju di web rasmi TEDUH yang dibangunkan oleh KPKT bagi mengelak ditipu pemaju tidak berlesen.
Sementara itu,KPKT menyasarkan jualan sebanyak RM200 bilion dalam sektor hartanah tahun ini.
Jelas Nga Kor Ming,sasaran tersebut realistik sekali gus memberi impak tinggi kepada lebih 200 industri berkaitan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.