Jemaah menteri setuju JAKIM beri nasihat berhubung jemputan majlis bukan Islam
2025-02-07 IDOPRESS
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,7 Februari- Jemaah menteri bersetuju bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berhubung jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan bersama memaklumkan,setiap dasar dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
"Mesyuarat telah meneliti mengenai kekeliruan berkaitan cadangan tersebut. Perkara ini berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
"Bagi memberi panduan kepada umat Islam,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif membangunkan garispanduan tersebut," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama,Kementerian Perpaduan Negara memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini seperti pelaksanaan Dialog Harmoni.
Bagaimanapun segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara PenganutAgama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama.
"Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 turut dijadualkan pada bulan ini akan mendengar segala pandangan ahli-ahli yang terdiri 24 wakil penganut agama (Islam,Buddha,Hindu,Kristian,Sikh,Tao,Baha'i).
"Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia," tambah kenyataan itu.
Bagi mencapai hasrat itu kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.