Close

Malaysia cemerlang raih satu gangsa, empat 'medallion for excellence' di Worldskills Lyon

2024-09-16 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

LYON,16 September - Malaysia menamatkan saingan pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024) dengan cemerlang apabila meraih satu pingat gangsa dan empat Medallion for Excellence selepas berjuang pada acara terbesar kemahiran itu sejak 10 Sept lepas.

Peserta kategori Beauty Therapy,Wong Hsun Wei meraih pingat gangsa dan dinobatkan Best Of Nation pada acara penutup WSC 2024 dan penyampaian pingat di Groupama Stadium di sini pada Ahad.

Empat belia yang meraih Medallion for Excellence adalah Muhammad Nasran Ahmad bagi kategori dandanan rambut dan Ahmad Muizuddin Mohd Razi bagi kategori Bricklaying.

Dua lagi wakil Malaysia,Muhammad Hakimi Abu Bakar bagi kategori Pemasangan Elektrik dan Stephen Sim Shan Siong menerusi kategori Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan.

“Rasa gembira dan sangat berterima kasih kepada cikgu saya kerana mereka menjaga dan membawa saya menyertai banyak pertandingan,” kata Hsun Wei.

Sementara itu,Muhammad Nasran menyifatkan pencapaiannya pada WSC cukup membanggakan kerana beliau berhadapan dengan banyak peserta berkemahiran tinggi dari luar negara.

“Terima kasih kepada semua... ayah,umi semua pakar dan cikgu. Terima kasih banyak-banyak sebab bagi sokongan kepada saya.

“Walaupun saya dapat Medallion for Excellence,saya rasa bersyukur sangat benda ini susah nak dapat sebab pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

WSC 2024 bermula 10 hingga 15 Sept menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah bersaing dalam 62 kategori kemahiran.

Malaysia mempertaruhkan 15 belia berkemahiran tinggi dalam 14 kategori termasuk Integrasi Sistem Robot,Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan,Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada WSC di Lyon pada bulan ini.

Insentif khas kepada peserta itu sebagai tanda sokongan,galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

Pemenang pingat perak pula menerima ganjaran RM20,000 manakala pingat gangsa menerima RM10,000 dan RM4,000 bagi Medallion for Excellence.

WSC dianjurkan setiap dua tahun sekali bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi belia dan pekerja bertaraf dunia. WSC 2026 akan diadakan di Shanghai,China.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.
© Hak ciptat 2009-2020 Ekonomi Melayu      Hubungi kami   SiteMap